top of page

Kempen Kesedaran Masalah Kulit dan Pembersihan Diri bersama KKM

hi8622

Persatuan Psoriasis Malaysia (PAM) telah menganjurkan aktiviti kesedaran bertajuk Masalah Kulit dan Pembersihan Diri di Dewan Serbaguna Pangsapuri Impian Baiduri Seksyen 51A Petaling Jaya pada pada 18 hb Ogos 2024. Aktiviti ini telah dijalankan bersama dengan Persatuan Penduduk Pangsapuri Impian Baiduri. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah meningkatkan kesedaran penghuni pangsapuri mengenai masalah kulit termasuk psoriasis serta cara cara bagi kebersihan diri.


Pembentangan pertama mengenai Penyakit Psoriasis telah diberikan oleh Dr. Raoul Sibert, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur & Putrajaya. Beliau telah memberikan gambaran menyeluruh mengenai penyakit psoriasis. Hadirin diberitahu bahawa psoriasis adalah penyakit auto-imun kronik yang melibatkan kulit dan sendi. Punca penyakit psoriasis adalah kompleks. Faktor genetik dan sistem imun memainkan peranan dalam menyebabkan psoriasis. Walaupun psoriasis tidak berjangkit, penghidap psoriasis menghadapi stigma sosial yang luar biasa disebabkan oleh kekurangan kesedaran dan pemahaman tentang penyakit tersebut. Dr Raoul menegaskan bahawa walaupun tiada rawatan bagi penyakit ini ia boleh dikawal.


Cik Sofia Lovi Ramasamy, Presiden PAM berkongsi dengan hadirin pengalaman beliau sebagai pesakit psoriatik selama hampir 30 tahun. Beliau memaklumkan bahawa pada permulaannya penyakit ini telah menguasai kehidupan harian beliau. Pada masa itu beliau enggan menemui sesiapu pun disebabkan keadaan kulitnya. Beliau terpaksa tunda mengambil peperiksaan awam kerana penyakitnya tidak dapat dikawal. Lama kelamaan beliau telah membuat keputusan bahawa beliau akan mengambil kawalan atas hala diri kehidupan beliau. Ucapan beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan semua yang hadir.


Seterusnya, Dr Raoul telah memberi perbahasan keduanya mengenai Kebersihan Diri. Beliau memaklumkan bahawa kebersihan diri adalah penting bagi membantu mengekalkan kesihatan dan mencegah penularan penyakit. Amalan kebersihan diri termasuklah mandi, membasuh tangan, menggosok gigi dan banyak lagi. Sebagai kesimpulan Dr Raoul mengingatkan para hadirin supaya mematuhi amalan basuh tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya selama 20 saat; elakkan menyentuh muka; rapi diri setiap hari; sikat rambut dan gosok gigi dua kali sehari; ingat menjaga kebersihan persekitaran dan hapuskan kotoran.

 

Program ini juga menyediakan sesi konsultasi perubatan yang dikendalikan oleh pakar dermatologis dari Hospital Kuala Lumpur. Ini memberikan peluang kepada penghuni pangsapuri membincang dengan dua pakar tersebut mengenai apa jua masalah kulit yang dihadapi oleh mereka ataupun keluarga mereka.


Pihak TV3 telah membuat liputan aktviti ini dan telah menjalankan sesi temubual dengan Dr Raoul, Cik Sofia serta seorang peserta. Liputan ini telah disiarkan dalam TV3 pada 20 hb Ogos 2024 di segmen Buletin Pagi.


Program aktiviti masalah kulit dan kebersihan diri di kalangan penduduk pangsapuri Impian Baiduri telah dijalankan dengan lancar dan mendapat sambutan yang memuaskan. Maklumbalas daripada peserta selepas aktiviti menunjukkan bahawa hampir semua berpendapat aktiviti ini adalah bermanfaat dan patut diadakan pada masa akan datang. Persatuan Psoriasis Malaysia ingin mencatatkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia atas bantuan kewangan bagi aktiviti ini. PAM juga ingin merakamkan penghargaan kepada persatuan penduduk Pangsapuri Impian Baiduri khususnya Encik Rohezad Othman atas segala kerjasama bagi mempastikan kejayaan aktiviti ini.

 





 

Disediakan oleh

Dr K. Thiruchelvam

Persatuan Psoriasis Malaysia

3hb September 2024


7 lihatan0 komen

Comments


bottom of page